Ni cerita yg kakyang post kat group cerita hantu. saja post kat sini pula utk kenangan hasil karangan sendiri..
"Jan, aku mengantuk sangatlah. Aku pi lelap kejap yer”.
Beritahu aku kepada Ijan yang berada di meja hadapan aku. Tanpa menunggu jawapan dari Ijan, aku bangun dari kerusi kerja dan berlalu ke surau yang terletak di bahagian belakang pejabat pentadbiran.
Aku capai bantal kecil yang memang aku bawa khas dari rumah untuk surau. Kepala dilabuhkan ke bantal. Dapat lelap sekejap pun jadilah. Monolog aku sendiri di dalam hati.
Tak menunggu lama, aku terus tertidur.
Tak lama kemudian aku tersentak dari tidur. Eh, dah lama sangat rasanya aku terlelap ni. Entah-entah bos dah masuk pejabat semula. Kelam kabut aku nak buka mata dan cuba bangun.
Aku gagal buka mata. Puas aku cuba buka tapi mata aku seperti dilekatkan gam gajah. Eh! Kenapa ni? Aku cuba pula gerakkan badan yang tengah mengiring. Aduh! Beratnya badan aku! Aku lumpuhkah? Agaknya tidur tanpa beralih terlalu lamakah? Aku cuba lagi untuk buka mata dan gerakkan badan.
Uh! Ah! Argggggg.. apa dah jadi pada aku!?
Tiba-tiba aku terlintas di fikiran. Adakah ini yang orang katakan kena tindih? Aku tertanya sendiri. Beginikah rasanya? Lantas aku mula beristifar dan membaca ayat Kursi dan beberapa ayat lain yang aku terlintas di fikiran. Sedikit demi sedikit badan aku mula ringan dan aku dapat buka mata dan gerakkan badan semula. Aku bingkas bangun dan melihat jam di tangan. Ah.. baru 20 minit aku terlelap. Tidaklah terlalu lama seperti di sangka.
Aku terus keluar surau dan kembali ke meja kerja. Lalu aku ceritakan apa yg terjadi pada Ijan. Ijan hanya mentertawakan aku. Katanya dia sering kena ‘tindih’. Tapi di rumah. Tidak pernah lagi kena di surau pejabat. Tempat suci kot, tak mungkinlah setan nak bertangga kat tempat yang macam tu. Ketawa Ijan mengejek ketakutan aku.
**********
“Sayang, esok abang kena hantar sayang ke ofis awal. Abang kena masuk pejabat cepat.” Suami aku memberitahu aku suatu malam. Aku hanya mengiyakan sahaja tanda mengambil maklum. Biasanya jika ada urusan di pejabat yang perlu suami aku uruskan di awal pagi, dia akan maklumkan aku lebih awal. Tujuaannya supaya aku dapat menyiapkan segala keperluan anak-anak sebelum pagi ke esokkan harinya.
Keesokan harinya, aku sampai ke pejabat seawal 7.00 pagi. Aku buka pintu pejabat sendiri kerana aku juga memegang 1 set pendua kunci pejabat. Biasanya Kamal, penyelia kilang yang akan bukakan pintu pejabat kerana bahagian pengeluaran beroperasi lebih awal dari Pejabat Pentadbiran.
Usai punch card di tepi pintu, aku terus memanjat tangga naik ke pejabat yang terletak di tingkat atas bangunan kilang tersebut. Aku bukakan semua lampu dan hidupkan penghawa dingin. Komputer di kiri meja kerja aku hidupkan juga. Awal lagi ni, boleh lah aku intai-intai blog-blog kesukaan aku terlebih dahulu di internet.
Sedang aku kusyuk membaca blog-blog kegemaran, tiba-tiba perut aku terasa memulas. Cepat-cepat aku bangun tinggalkan komputer dan berjalan laju ke tandas di bahagian belakang pejabat. Malas aku nak gunakan tandas di depan, aku tak suka orang dengar bunyi air atau bunyi cebokan aku nanti. Entah-entah bau hasil perut aku pun diorang boleh hidu. Hehehe
Sebenarnya aku bekerja sebagai Pembantu Pengarah merangkap Pegawai Kewangan di kilang bumiputra yang beroperasi di bangunan kedai satu setengah tingkat yang terletak di hujung kawasan perindustrian di salah satu ibu negeri. Pejabat pentadbiran terletak di atas lot kilang tersebut. Di tingkat atas, ada ruang separuh lot yang dijadikan ruang pejabat pentadbiran. Di sebelah hadapan ruang tersebut adalah tangga untuk naik ke atas. Sebelah tangga ada tingkap kecil yang boleh memantau operasi kilang di bawah. Tandas berada di sebelah tingkap tersebut yang hanya di pisahkan dengan partition. Di sebabkan perniagaan yang agak memberangsangkan, bos aku telah menyewa satu lagi lot kilang di sebelahnya. Pejabat pentadbiran di atas di sambungkan dengan tingkat atas lot sebelah dengan membuat satu lagi pintu di tengah bagi membolehkan pekerja masuk ke ruang sebelah tanpa perlu melalui tangga dari bawah. Ruang sebelah yang kosong dijadikan surau, tandas dan stor barangan lain. Ruang sebelah itulah yang aku namakan sebagai belakang pejabat kerana jika akses dari pintu utama pejabat pentadbiran, ruang itu kelihatan seperti di belakang.
Tandas di ruang belakang itulah yang selalu aku gunakan. Lebih privasi berbanding tandas di hadapan pejabat pentadbiran.
Sedang aku sedap mengkhadakan hajat, aku dengar bunyi bising yang agak kuat dari pejabat pentadbiran. Bunyinya seperti bunyi bising games perang-perang yang sering dimain oleh Azam, kerani pemasaran.
Dia telah sampai pejabat agaknya. Awal-awal pagi lagi dah sibuk main games. Inilah anak-anak muda sekarang. Gamessss memanjang tak kira masa. Gumam aku sambil menyelesaikan urusan aku di dalam tandas. Setelah selesai urusan, aku kembali ke meja kerja. Eh.. mana Azam? Aku memandang komputer di meja Azam yang gelap. Takkan lah sekejap saja dia bermain games?
Aku mula membuat kerja-kerja pejabat mentelah sebentar lagi akan bermula waktu kerja. Tak lama kemudian, dari bawah aku dengar bunyi tapak kaki memanjat tangga hadapan sambil bersiul-siul. Muncul Azam dari tangga tersebut.
“Assalamualaikum kakak cantik.. awal akak sampai hari ni?” Azam menyapa aku.
“Waalaikumsalam… kuatnya awak main games tadi. Sampai ke dalam tandas belakang akak boleh dengar bunyi games awak.” Terus aku menegur Azam.
“Games? Bila masa saya main games kak? Ini saya baru sampai. Baru naik ke pejabat.” Sangkal Azam membuatkan aku terkedu sendiri.
“Habis tu, bunyi games yang akak dengar tadi tu datang dari mana?”
Soalan aku tidak terjawab oleh Azam. Aku dan Azam sama-sama terkedu.
Sekejapan sahaja kejadian itu jadi buah mulut semua kakitangan. Mulalah macam-macam variasi cerita-cerita seram santai yang pernah di alami staf di kilang sampai pada aku. Ada yang betul-betul seram, ada yang santai-santai lut cak saja, ada juga yang aku andaikan sebagai hanya mainan perasaan.
Sejak dari pada itu, aku tak pernah lagi berani ke bahagian belakang pejabat tanpa berteman hinggakan nak solat pun aku sanggup tunggu untuk solat sama-sama dengan Ijan.
No comments:
Post a Comment